Tuesday 29 November 2011

Kata Alu-aluan
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera...

Terima kasih terlebih dahulu diucapkan kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi blog ini. Diharapkan terhasilnya blog ini dapat memberi banyak manfaat dan kegunaannya dalam mendapatkan maklumat  dan juga berkongsi maklumat. 
             Kenali saya, Mohd Ruzaidi Ibrahim berasal dari Tanah Merah Kelantan. Buat masa sekarang, saya sedang mengikuti pengajian selama 2 tahun Sarjana Pendidikan Biologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) secara PJJ. Tempat bertugas sekarang iaitu mengajar di SMK Triang 3 Bera, Pahang. Dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Bioteknologi) dari Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2001. Kemudian memperolehi Diploma Pendidikan Sains (KPLI) dari Maktab Perguruan Ipoh Perak (MPIP) pada tahun 2003.  
              Masa berlalu begitu pantas sekali. Sedar tak sedar sudah 12 minggu masa berlalu saya mengikuti kuliah bagi subjek SBP6024 Technology And Innovation In Teaching And Learning Biology dalam sesi pembelajaran bagi semester 2 Sarjana Pendidikan Biologi di UPSI ini. Secara teknikalnya, melalui subjek ini sepanjang minggu saya didedahkan dengan suasana pembelajaran bersandarkan kepada dunia teknologi dengan penggunaan blog sebagai mekanisme utama. Apa yang penting, saya dapat memperoleh pengetahuan baru apabila tahu membina dan membangunkan blog sendiri. Di sinilah, saya dapat imbas kembali pembelajaran semasa di dalam kelas dengan menulis refleksi di blog ini.
               Pada saya kandungan kursus yang disampaikan oleh Dr Saadiah adalah sesuatu yang amat baik dan amat menarik. Permulaan dengan ‘assignment’ ICT dalam P&P, seterusnya dengan software SMARTBOARD, LectureMAKER dan PICASA. Jika diikuti setiap langkah latihan kerja yang disediakan oleh beliau dengan adanya komponen multimedia itu, saya sebagai guru dan tenaga pengajar lain dapat membangunkan satu kandungan e-pembelajaran interaktif untuk pelajar-pelajar di sekolah. Ini menambah lagi minat pelajar apabila mengikuti pembelajaran di kelas.
               Pembelajaran ini adalah salah satu pendekatan yang lebih praktikal untuk saya memahami kesuluruhan kandungan kursus di samping mempelajari teori. Selain itu, saya menganggap pendekatan pengajaran Dr Saadiah adalah kreatif dan membina, saya dan rakan-rakan bukan hanya didedahkan dengan dunia teknologi tetapi beliau telah berusaha mengabungjalinkan dengan subjek lain seperti Sains/Biologi. Saya bukan sahaja memperoleh pengetahuan baru daripada subjek ini, tetapi juga membina kemahiran berfikir yang tinggi dan lebih kritikal.
                Secara umumnya, pengetahuan internet dalam pendidikan bukan lagi merupakan perkara yang asing dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi. Pengajaran dan pembelajaran kini boleh berlaku dimana-mana dan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengambil kira jenis komputer, tempat dan geografinya. Pengenalan pembelajaran elektronik (e-pembelajaran), pendidikan jarak jauh dan pendidikan dalam talian merujuk kepada pengunaan internet dalam pendidikan.
                Kaedah pembelajaran konvensional menggunakan papan putih atau buku-buku teks mengalami transformasi dengan penggunaan komputer melalui sistem e-pembelajaran. Kaedah e-pembelajaran ini tentu bakal memudahkan lagi pelajar khususnya di sekolah kerana tidak perlu lagi memikul lambakan buku teks yang berat sehingga membebankan mereka. Senario tersebut mungkin agak ke hadapan untuk difikirkan tetapi tidak mustahil menjadi kenyataan pada satu hari nanti dengan teknologi dan perisian terkini. Kaedah e-pembelajaran yang mengetengahkan elemen seperti interaktif, multimedia, kesan bunyi dan banyak lagi dijangka mampu membuka mata serta menambah minat pelajar apabila hadir kesekolah dan mengikuti pembelajaran dan pengajaran yang disampaikan oleh guru di kelas nanti
Alhamdullilah, akhir kata dari saya segalanya berjalan dengan amat baik dan blog ini dapat disiapkan  berkat semangat setiakawan dan pertolongan tunjuk ajar yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dan pensyarah. Saya akan terus membuat penambahbaikan dalam blog ini dari semasa ke semasa untuk dikongsi bersama..

Terima Kasih kerana mengunjungi blog "Bila Mr Dody Termenung...."


Mohd Ruzaidi ( MrDody)
UPSI 2011

No comments:

Post a Comment